Tuesday 25 September 2012

Rakyat Negeri Sarawak Bukan "Paloi"


Misi pembangkang untuk meracuni pemikiran rakyat menerusi Deklarasi Kuching tidak semudah yang disangka kerana rakyat negeri ini bukan 'paloi' atau bodoh dalam menilai kredibiliti pemimpin pilihan mereka.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat negeri ini tidak mudah terpedaya dengan janji-janji pembangkang kerana kebanyakannya tidak pernah ditunaikan.

"Pembangkang kononnya mahu memberi kuasa autonomi, tetapi rakyat negeri ini bukanlah 'paloi' sehinggakan tidak boleh membezakan yang logik dan tidak logik.

"Kita juga tahu menilai mana yang betul dan palsu, lebih-lebih lagi apabila terdapat beberapa janji pembangkang sebelum ini masih tidak ditunaikan," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka dan Ziarah Lebaran 2012 anjuran PBB Ranting Kampung 4 dan Jawatankuasa Masjid Darul Farhanah di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan negeri memberitahu, tindakan pembangkang tersebut jelas menunjukkan mereka mahu menarik perhatian rakyat tanpa menilai sama ada mampu atau tidak menunaikan janji-janji tersebut.

"Masyarakat harus menyedari kerajaan mempunyai caranya yang tersendiri dalam menguruskan hal pentadbiran negeri ini, tidak payah untuk mereka menggunakan taktik-taktik kotor bagi memporak-perandakan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, kerajaan selama ini sudah cukup baik untuk mewujudkan undang-undang yang menjadikan Sarawak dan Sabah istimewa.


Nota Kaki : Mmg rakyat negeri sarawak sik paloi, tapi rame rakyat kecil hati dgn statement sesetengah pihak tentang negeri sarawak.
sources- Utusan


No comments:

Post a Comment