Tuesday 25 September 2012

Lapangan Terbang Sibu Baru ( New Sibu Airport )






Sempena sambutan Hari Malaysia Ke-49 pada Ahad lalu, penduduk wilayah tengah mendapat hadiah bermakna apabila Lapangan Terbang Sibu (LTS) yang diperbesar dan dinaik taraf, dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia membuka satu lembaran baru dalam sejarah pengangkutan udara di bahagian ini yang bermula sejak pembinaan sebuah padang udara untuk tujuan ketenteraan oleh askar Jepun pada era Perang Dunia Ke-2.

Kemudahan itu kemudiannya melalui beberapa fasa naik taraf pada 1952 dan 1962 untuk memenuhi keperluan semasa.

Berikutan perkembangan pesat bahagian ini, pada 1992, sebuah lapangan terbang komersial dibina di lokasi baru dan ia siap sepenuhnya pada 1994 dengan keupayaan menguruskan 1.025 juta orang penumpang setahun.

Bagaimanapun pada 2010, bagi mengimbangi pembangunan Sibu berikutan kewujudan projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), lapangan terbang berkenaan diperbesar dan dinaik taraf.

Projek itu dimulakan pada 13 September 2010 dan siap sepenuhnya 12 September lalu dengan kos keseluruhan RM136.9 juta.

Di antara kemudahan LTS yang dinaik taraf melalui projek itu ialah pembesaran bangunan terminal daripada 8,040 meter persegi kepada 15,240 meter persegi.

Turut terlibat ialah pemasangan tambahan dua unit aerobridge, tambahan satu unit karusel tuntutan bagasi dan penambahan empat ruang letak kapal terbang yang boleh memuatkan tujuh pesawat kod C secara serentak.

Kaunter daftar masuk juga ditambah daripada lapan kepada 18, kaunter imigresen daripada enam kepada 14, mesin pengimbas keselamatan daripada lima kepada sembilan unit.

Kemudahan ruang letak kereta asalnya 300 lot kepada 500 lot dan laluan pekarangan daripada empat laluan menjadi enam.

Selain itu, tiga buah bangunan baru turut dibina iaitu bangunan kemudahan pusat, pejabat bengkel kejuruteraan dan pos kawalan di samping membesarkan bangunan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) daripada 500 meter persegi kepada 1,060 meter persegi.

Perdana Menteri sewaktu berucap pada majlis perasmian LTS berkata, pembesaran dan naik taraf itu dibuat dengan mengambil kira kedudukan bahagian ini sebagai pintu masuk wilayah SCORE.

Katanya, turut menjadi asas pertimbangan ialah potensi pelancongan di negeri ini yang mencatatkan kemasukan 3.8 juta pelancong pada tahun ini dengan 62 peratus daripadanya adalah pelancong asing.

"Kesemua pelancong tersebut telah membawa aliran masuk RM2.7 bilion yang merupakan 13.5 peratus daripada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, projek berkenaan menterjemahkan komponen utama dalam rancangan besar kerajaan untuk menggiatkan pembangunan di bahagian ini.

Katanya, lapangan terbang yang lebih baik akan mampu memenuhi peningkatan permintaan daripada wilayah tengah berikutan pertambahan aktiviti ekonomi di Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis.

"Menjadi pintu masuk kepada pusat pembangunan baru di negeri ini, Sibu pasti melalui perubahan besar dalam tahun-tahun mendatang," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Taib mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberikan peruntukan untuk projek pembesaran dan naik taraf itu.

Katanya, perhatian istimewa daripada Perdana Menteri sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara telah menggiatkan tahap pembangunan di negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha sewaktu memperincikan pembaharuan di LTS berkata, pembesaran dan naik taraf itu berjaya meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang daripada 700,000 kepada dua juta orang setahun.

Katanya, ia turut membolehkan kecekapan pengendalian penumpang pada waktu puncak ditingkatkan tiga kali ganda daripada 330 orang sejam kepada 900.

"Projek ini bertujuan meningkatkan keupayaan kemudahan LTS memandangkan statistik pergerakan penumpang di lapangan terbang ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak 2008.

"Pada 2008, statistik pergerakan penumpang telah meningkat daripada 830,000 kepada 1.3 juta orang pada 2011 dan angka ini dijangka terus meningkat pada tahun akan datang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Cho Ha berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, LTS telah mengendalikan pergerakan penumpang sebanyak 781,079 orang berbanding 727,097 orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, ia merupakan peningkatan sebanyak 53,982 orang atau 7.4 peratus.

"Selain daripada itu, LTS juga berjaya mengendalikan 44 penerbangan sehari yang menghubungkannya dengan Kuala Lumpur, Kuching, Miri, Kota Kinabalu, Bintulu dan Johor Bahru

Nota Kaki- Dah Guna Airport Sibu Baru, mmg Best ilak environment pun Cantik facility pun Terbaik la...Staff pun Ramah2 especially kakak kat immigration sebelum check-in barang.
Sources-Utusan

No comments:

Post a Comment